|
A |
pa yang anda tahu atau faham mengenai Harta Intelek? Mungkin kita hanya menganggap hanya Hakcipta, trademark atau tanda niaga sahaja yang tergolong dalam harta intelek.Kita rujuk dahulu apakah yang dimaksudkan dengan harta intelek?
Mengikut tafsiran Wikipedia Bahasa Melayu, Harta intelek (bahasa Inggeris: intellectual property atau IP) dalam bidang undang-undang merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti karya muzik, sastera dan seni; rekacipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan. Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.
Harta intelek sebenarnya terdiri daripada Hakcipta (Copyright), Paten (patent), Tanda niaga (trademark), Reka bentuk industri (Industrial design) dan Petunjuk Geografi (Gegraphical indication).
Untuk pengetahuan anda, hari Harta Intelek Sedunia akan disambut pada tarikh 26 April setiap tahun dan negara kita juga turut menyambut hari ini. Biasanya di Malaysia ianya disambut untuk meningkatkan kesedaran masyarakat awam mengenai harta intelek dan pertandingan Reka Cipta akan diadakan untuk menggalakkan inovasi di negara kita.
Hari ini disambut untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat
Kesungguhan kerajaan dalam perkara ini dibuktikan dengan wujudnya Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan juga Mahkamah Harta Intelek di Malaysia. Mahkamah Harta Intelek ditubuhkan untuk menjaga hak pencipta selain mempercepatkan pendakwaan terhadap kesalahan mencuri harta intelek seperti hakcipta, paten, cap dagangan dan lain-lain. Lihat di bawah ni contoh kes yang dihadapkan ke Mahkamah berkenaan kes Harta intelek.
Mahkamah Harta Intelek Keluar Waran Tangkap Pertama
Sumber Maklumat : Berita Harian (16 April 2007)
KUALA LUMPUR 17 Julai – Mahkamah Sesyen Harta Intelek pada sidang pertamanya hari ini, mendengar lima kes melibatkan Akta Hakcipta 1987 termasuk satu waran tangkap terhadap seorang penganggur kerana gagal hadir di hujung kes pembelaannya.
Hakim Mohd. Nasir Nordin mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosdi Mamat, 42, yang didakwa melanggar akta hakcipta, empat tahun lalu. Waran tangkap turut dikeluarkan terhadap bapa saudaranya yang menjadi penjamin tertuduh itu.
Rosli dituduh kira-kira pukul 9.30 malam pada 6 November 2003, di gerai tidak bernombor di pasar malam Jalan Kuching, memiliki 246 salinan langgaran rakaman bunyi (lagu-lagu) yang terkandung dalam 24 pita kaset tatkala hakcipta karya rakaman tersebut wujud dan dituntut oleh empat syarikat. Empat syarikat yang berhak ke atas karya asal rakaman lagu-lagu itu ialah EMI (M) Sdn. Bhd., Hui Hvang Enterprise Sdn. Bhd., Hup Hup Sdn. Bhd. dan Suria Record.
Menurut pegawai pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Ahmad Abdullah, sepatutnya tertuduh datang bersama saksi pembelaan yang ketiga pada hari ini. Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan untuk meneruskan kes tersebut di mahkamah yang sama.
Satu lagi kes yang dikendalikan oleh pegawai pendakwa KPDNHEP, Mustaza Nabila Muslimin melibatkan seorang peniaga di Bazar Masjid India, Haryadi Aminuddin, yang dituduh menjual 9 unit salinan atau VCD cetak rompak.
Tertuduh tidak mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Haryadi dituduh menjual salinan cetak rompak VCD itu pada 9 Januari awal tahun ini. Dia ditangkap pada hari yang sama. Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. Bahan-bahan cetak rompak filem itu terdiri dari tiga salinan ‘Might at Museum’ dan dua salinan ‘Eragon’ milik dan ciptaan Twentieth Century Fox Corp., dua salinan ‘Dejavu’ milik dan ciptaan Touchshue Pictures Disney Enterprise Inc. & Jerry Bruckheuiner Inc. dan dua salinan ‘Happy Feet’ keluaran W.V. Films LLC. Bagi kes ini mahkamah menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula dan membolehkan tertuduh melantik peguam bela.
Seorang lagi pegawai pendakwa KPDNHEP, Ibrahim Md. Yunus yang mengendalikan kes Law Chuan Keong, 26, dituduh lebih kurang pukul 11.15 pagi pada 18 Januari lalu di gerai tidak bernombor di pasar pagi, Jalan Bangau, Kepong Baru, di sini menjual enam salinan karya filem dalam bentuk VCD. Kesemua empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Hakcipta 1987 dan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 41(1)(i) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan, atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.



































Be The First To Comment
Related Post
Please Leave Your Comments Below